03:13 0

Bapa buang anak di JKM


“Abah turun bawah beli mainan.” Itu kata seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun sejurus ditinggalkan seorang lelaki dipercayai bapanya di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kinta, di sini, pagi kelmarin.
Kanak-kanak yang memakai jersi bola sepak dan seluar pendek berwarna biru itu ditinggalkan di depan kaunter pejabat JKM di Bangunan Persatuan Hock Kean, Jalan Sultan Yussoff, di sini, kira-kira jam 9 pagi.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat itu, lelaki terbabit yang memakai kemeja berwarna putih dan berseluar jeans dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta, Mohd Mahir Mohd Tahir berkata, lelaki itu dilihat memimpin kanak-kanak terbabit masuk ke dalam bangunan sebelum berpura-pura menjawab panggilan telefon lalu keluar dari pejabat JKM.

Menurutnya, selepas hampir 10 minit melihat kanak-kanak itu bersendirian seorang kakitangan JKM mula curiga lalu menegurnya. “Kakitangan JKM kemudian cuba mengesan lelaki terbabit di sekitar bangunan pejabat, namun gagal. Tiada sebarang nota atau dokumen pengenalan diri ditemui pada kanak-kanak itu. “Selepas menunggu hampir dua jam, kami mengambil keputusan membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Ipoh, kira-kira jam 10.50 pagi,” katanya dalam sidang media semalam. Mohd Mahir berkata, kanak-kanak itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Abang Saiful kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk mendapat perintah jagaan sementara mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kini dia diberi perlindungan di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Kuala Kangsar. Kanak-kanak itu sihat dan tiada tanda kecederaan atau kecacatan pada anggota tubuh badannya.
“Pihak kami masih menunggu jika lelaki terbabit kembali ke pejabat untuk mengambil kanak-kanak itu, namun sehingga sekarang tiada apa-apa maklum balas diterima,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Mahir meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keluarga kanak-kanak itu boleh menghubunginya di talian 05-2418860 / 019-3291176.

0 comments:

Post a Comment