10:16 0

Nenek koma diragut

BUKIT BERUANG -  Seorang wanita warga emas koma akibat terjatuh selepas begnya yang hanya mengandungi kira-kira RM50 diragut dua lelaki di Jalan Gajah Behrang, dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira 10.20 pagi, Jumaat lalu, dua lelaki berkenaan bertindak meragut mangsa berusia 70 tahun.

“Dua lelaki itu meragut beg milik wanita sehingga menyebabkan wanita itu terjatuh lalu cedera di kepala dan kini berada di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Melaka.

“Kejadian hanya disedari adik perempuan mangsa yang terdengar kekecohan ketika berjalan di hadapan mangsa di bahu jalan berhampiran Gereja Katholik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam.

Raja Shahrom berkata, kira-kira 20 minit sebelum kejadian, dua lelaki berkenaan yang menaiki sebuah motosikal jenis RG dipercayai cuba meragut rantai leher milik remaja perempuan di Jalan Tengkera.

“Mereka bagaimanapun gagal mengambil rantai berkenaan berikutan tangan salah seorang mereka hanya mengenai baju dipakai mangsa berusia 17 tahun yang bekerja sebagai jurujual.

“Mangsa yang turut dipukul di bahagian kepala menggunakan topi keledar bagaimanapun bernasib baik tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Berikutan itu, Raja Shahrom berkata, orang ramai yang melihat kedua-dua kejadian diminta hadir ke balai polis berdekatan untuk membantu polis menyiasat kes di bawah Seksyen 394 dan 393 Kanun Keseksaan.

- Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment