14:32 0

Pemain bola sepak Pahang dicekup khalwat


Dua pemain bola sepak Pahang ditahan Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel terkemuka di bandar ini, awal pagi kelmarin.
Menurut sumber, pemain Tok Gajah itu ditahan bersama pasangan masing-masing di bilik berasingan kira-kira jam 4.30 pagi.
Sumber berkenaan memberitahu, serbuan dilakukan sepasukan pegawai Penguatkuasa Jaip hasil maklumat orang awam dan pemeriksaan di bilik pemain terbabit.
Katanya, pemeriksaan di bilik pertama mendapati, seorang pemain bola yang dipercayai bermain di posisi tengah pasukan bersama seorang wanita bukan muhrim berada dalam bilik berkenaan.
“Selepas itu, satu lagi pemeriksaan di bilik berdekatan mendapati pemain yang dipercayai pemain pertahanan Pahang turut ditahan kerana disyaki berkhalwat,” katanya.
Menurutnya, daripada maklumat, Penguatkuasa Jaip terpaksa mengetuk pintu bilik beberapa kali memperkenalkan diri sebagai Penguatkuasa sebelum mereka membukanya.
Siasatan awal mendapati mereka mengaku berkhalwat bersama pasangan masing-masing yang berusia 20-an.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua pemain itu dilepaskan dengan ikat jamin Jaip sebelum kes mereka dibicarakan manakala pasangan masing-masing telah dihadapkan ke mahkamah syariah pada hari yang sama.
Jika sabit kesalahan, mereka bakal berdepan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.
Sementara itu, sumber daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) memberitahu masih belum menerima sebarang pengesahan berhubung kes khalwat membabitkan dua pemain tersebut.
Menurut sumber, persatuan tidak mendapat maklumat lanjut mengenai kes itu dan tidak dapat mengambil sebarang tindakan ke atas mereka.
“Kita perlu tunggu keputusan dibuat Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah terhadap pemain terbabit,” katanya.
 – Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment