Dipercayai wujud pertelingkahan dan pergaduhan menyebabkan suami wanita itu bertindak luar kawalan sehingga menyebabkan kematian. Jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai Husin berkata, sekitar 3 hingga 4 pagi, dia terdengar bunyi bising di rumah mangsa namun tidak mengendahkan perkara itu kerana pasangan suami isteri itu kerap bergaduh. “Saya tidak sangka kejadian ini berlaku.
Sebelum ini, mereka pernah bergaduh hingga di luar kawasan rumah. “Jadi bila dengar bunyi bising, saya buat tak tahu sebab tidak mahu masuk campur urusan peribadi orang lain,” katanya kepada Sinar Harian,semalam. Sementara itu, seorang lagi jiran mangsa, Rosman berkata, dia sempat membantu menyelamatkan wanita itu sebelum dihantar ke hospital.
Katanya, wanita itu masih bernyawa tetapi keadaannya terlalu parah akibat tetakan di bahagian leher dan pinggang kiri mangsa. “Pada ketika itu, saya terdengar anak mangsa menangis di tingkat atas. Nasib baik mereka selamat dan tidak dicederakan,” katanya. Difahamkan, dua anak mangsa yang berusia enam dan tiga tahun trauma selepas melihat bapa mereka menendang dan menikam ibu mereka dan kanak-kanak itu kini dijaga makcik mereka.
Seorang anggota Rakan Cop memberitahu, mangsa menghubungi salah seorang saudara terdekat pada jam 7.20 untuk meminta bantuan. Dia mendakwa mangsa terpaksa berpura-pura mati dan menahan kesakitan untuk mengelak suaminya bertindak lebih ganas. “Selepas dia (mangsa) fikir suaminya sudah tiada, barulah dia menelefon saudaranya. “Saya percaya dia terpaksa berbuat begitu untuk menyelamatkan diri dan nyawa dua anaknya itu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Pahang, Supterintendan Rosli Hassan mengesahkan kes itu tetapi polis masih menyiasat punca kejadian. Menurutnya, pihak polis menerima panggilan kira-kira jam 7.30 pagi dan apabila tiba di tempat kejadian polis mendapati seorang lelaki warganegara China mati di dalam rumah dengan kesan luka parah.
“Mangsa sudah meninggal dunia dan siasatan awal mendapati suspek terbabit mempunyai masalah rumahtangga dengan isterinya,” katanya. Beliau berkata, polis percaya suspek masih berada dalam negara. - sinar
0 comments:
Post a Comment