13:14 0

Siti Saleha temui penganti baru

SETELAH hubungan cinta dengan bekas penjaga gol bola sepak Malaysia, Syed Adney Syed Hussein, kisah yang mengaitkan pelakon Siti Saleha Mohd. Baharom, 23, dengan lelaki tidak lagi kedengaran. 

Setiap kali bertemu dengan pelakon yang popular menerusi drama bersiri Nora Elena itu dalam mana-mana acara hiburan, dia lebih suka mengunci mulut apabila ditanya tentang lelaki. Bagaimanapun, dalam sesi fotografi yang diaturkan bersama-sama Kosmo! untuk mempromosikan filem Balada Pencinta kelmarin, Saleha telah mengakui hatinya kini telah ditawan oleh seseorang. 

“Ya, saya tidak nafikan kini sedang menjalinkan hubungan dengan seorang jejaka yang dikenali kira-kira tiga bulan lalu. Dia merupakan lelaki yang berasal dari Eropah, tetapi bekerja di Malaysia. 

“Detik perkenalan bermula ketika kami sama-sama menghadiri acara makan malam yang dianjurkan oleh seorang rakan,” ujar adik kepada vokalis utama kumpulan Bunkface, Shamsul Anuar atau lebih dikenali sebagai Sam. Apabila diminta menceritakan dengan lanjut mengenai hubungan yang terjalin itu, Saleha mengambil pendekatan untuk tidak terlalu bercerita kerana hubungan yang terjalin masih lagi terlalu awal. 

Memberitahu bahawa ikatan cinta antara dia dan jejaka tersebut mula terjalin selepas sebulan perkenalan, Saleha menyatakan, mereka kini sedang dalam proses mengenali hati budi masing-masing. 

“Kalau boleh saya tidak mahu mendedahkan identiti jejaka berkenaan memandangkan hubungan kami masih awal dan setakat ini saya cukup selesa bersama dengannya,” jelasnya. Biarpun sudah menemui cinta yang baharu, pelakon berkenaan menjelaskan dia masih lagi belum terfikir ke arah hubungan yang lebih serius memandangkan usianya yang masih lagi muda.


0 comments:

Post a Comment