Penerbit dan pengarah terkenal tanah air Datuk Yusof Haslam menasihati agar pelakon Sharifah Amani tidak membuat sebarang tuduhan melulu tanpa usul periksa terlebih dahulu.
Yusof Haslam berkata demikian ketika mengulas mengenai perang Twitter yang berlaku antara anaknya Syamsul Yusof dan Sharifah Amani yang tidak berpuas hati apabila filem lakonannya dalam filem "Psiko Pencuri Hati" diklasifikasikan PG18 kerana didakwa mempunyai babak ngeri, tetapi filem "KL Gangster 2" arahan Syamsul yang memaparkan babak membabitkan dadah, pergaduhan, rogol dan mencarut diklasifikasikan PG13.
"Sebagai orang baru, mungkin dia salah faham dengan apa yang berlaku. Dia sepatutnya periksa dulu dan elakkan dari membuat tuduhan melulu.
"Nasihat saya agar dia mengikut saluran yang betul seperti dilakukan semua penerbit besar apabila berhadapan dengan masalah serupa. LPF (Lembaga Penapisan Filem) membuka ruang kepada semua penerbit untuk melakukan rayuan dan mereka akan mempertimbangkan sekiranya ia berasas," Katanya kepada Berita Harian.
Tambah penerbit "KL Gangster 2" ini, filem terbitannya pada mulanya diklasifikasi PG18, namun selepas insiden kebocoran filem arahan anaknya itu barulah beliau membuat rayuan memandangkan kerugian besar yang bakal ditanggungnya.
Dalam pada itu, Sharifah berkata, apa yang ditulisnya di laman sosial Twitter miliknya itu bukanlah ditujukan kepada Syamsul.
"Itu sekadar luahan kepada lPF daripada anak seni. Apa yang saya timbulkan diharap dapat memperbaiki lagi industri perfileman." Katanya.
0 comments:
Post a Comment