Pelakon veteran Abu Bakar Omar akan tetap meneruskan hajat untuk
mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Persatuan Seniman Malaysia
(Seniman) pada Ahad ini walaupun ia bakal diboikot oleh Presidennya, Zed
Zaidi dan segelintir ahli itu.
Abu Bakar, 64, berkata, pertemuan yang akan diadakan di Perbadanan
Kemajuan Filem Nasional (Finas) itu adalah untuk menerangkan kepada
semua ahli kenapa dia bersama empat artis veteran yang lain berjaya
mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang Mesyuarat Agung Tahunan
(AGM) Seniman ke 15 pada 1 Jun lalu.
“Saya mendapat maklum balas ada ahli yang akan hadir. Pertemuan ini
akan tetap dilaksanakan pada pukul 2 petang, Ahad ini walaupun Zed Zaidi
melarang ahli-ahli Seniman berbuat demikian.
“Sila jadi ‘gentlemen’ sikit. Ini mesyuarat untuk menyelesaikan masalah. Kenapa perlu boikot,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini Jumaat.
Pada 31 Mei lalu, Abu Bakar bersama rakan artis iaitu Sahlan
Sudiran, Mior Ahmad Zaudi Mior Ali, Datuk Abdullah Sani dan Roslinda
Buang berjaya memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur dekat sini bagi menghalang AGM persatuan itu.
Hakim, Rosilah Yop membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat
alasan untuk membenarkan injunksi berkenaan berdasarkan penyertaan
tuntutan lima artis terbabit.
Terdahulu dalam laporan mStar Online pada Jumaat, Zed berkata
pihaknya akan memboikot pertemuan berkenaan sebagai langkah untuk
mengelakkan ahli –ahli persatuan itu terpengaruh dengan agenda tidak
baik kumpulan veteran tersebut.
Dalam pada itu Abu Bakar berkata, walau apa pun yang akan terjadi,
pertemuan itu tetap diteruskan dan mencabar Zed Zaidi untuk hadir
bersama ahli-ahlinya yang lain kerana dengan cara itu sahajalah kemelut
dalam persatuan berkenaan dapat di selesaikan.
“Ahad ini ahli-ahli yang terdiri daripada artis baru dan lama akan
hadir. Jadi, Presiden persatuan pun kenalah hadir juga. Saya dan
rakan-rakan akan terangkan kenapa perintah injunksi itu dibuat,”
katanya.
Ketika dimaklumkan kepada Abu Bakar bahawa Zed telah menulis surat
agar Finas tidak membenarkan pertemuan itu kerana ia lebih kepada
agenda peribadi katanya, perkara itu bukanlah satu masalah.
“Kalau tak boleh buat di Finas, kami akan buat (pertemuan) itu di
tempat letak kereta. Bukannya susah. Kenapa pula pertemuan ini tak boleh
dibuat di Finas? Sebelum ini ada artis buat kerja kahwin di Finas boleh
pula?” soalnya.
-mstar-
0 comments:
Post a Comment