21:09 0

Bas jatuh gaung di Genting Highland

Sebuah bas awam terhumban ke dalam gaung ketika menuruni Genting Highlands petang ini dan menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, 33 penumpang dikhuatiri terkorban dan 16 lagi cedera.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata setakat ini 32 mangsa masih berada di bawah gaung sedalam 200 kaki dan pemerhatian awal bomba mengatakan mereka sudah meninggal dunia.

Bomba menjangka terdapat 49 mangsa di dalam bas tersebut.

Sehingga kini 16 mangsa sudah diselamatkan dan seorang yang terbunuh sudah dibawa ke hospital.

Menurut Azizan kemalangan berlaku di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur membabitkan sebuat bas awam Genting Highlands.

Menurut facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat pula, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.48 petang.

Katanya, anggota balai bomba tersebut bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamat mangsa yang terlibat.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah turut berangkat ke lokasi nahas bagi meninjau kerja-kerja menyelamat mangsa.

Manakala ADUN Ketari, Lee Chin Chen ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau dimaklumkan terdapat 49 penumpang dalam bas ketika kejadian itu berlaku petang ini.

Akhbar The Star pula melaporkan bahawa kemalangan itu berlaku kira-kira 2km dari Kuil Chin Swee dan lalulintas di kawasan itu sesak dan tidak bergerak.

Gambar-gambar yang diedarkan secara meluas di Facebook menunjukkan bas kuning terletak di dalam gaung. Sehingga jam 7.15 malam, 12 orang disahkan maut manakala 21 lagi dikhuatiri turut terkorban

Seramai 16 lagi mangsa berjaya dibawa keluar daripada bas itu dan kini menerima rawatan di beberapa hospital kerana mengalami pelbagai kecederaan.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) Datuk Seri Dr Abu Hassan Ashaari berkata setakat pukul 6.28 petang, lima mayat mangsa nahas dihantar ke hospital berkenaan.

Mangsa lain turut dihantar ke Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang dan Hospital Bentong, di Pahang untuk rawatan.

"Setakat ini Hospital Selayang menerima tujuh pesakit, HKL (5), Hospital Sungai Buloh dan Hospital Bentong masing-masing dua mangsa," katanya.

Mangsa yang terlibat dalam lingkungan umur 19 hingga 50 tahun, katanya yang ditemui di hospital berkenaan.

Sementara itu, akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily, yang memetik Jabatan Bomba dan Penyelamat, jumlah terkorban ialah 37 orang, 16 cedera.

Akhbar tersebut melaporkan bahawa mangsa yang terkorban terdiri daripada 32 Cina, tiga India dan dua Melayu. Semua mangsa dibawa keluar pada jam 8.15 malam.

Oriental Daily juga melaporkan bahawa bas terbabit membawa 53 penumpang.




0 comments:

Post a Comment